Monday, February 14, 2011

Jangan PUTUS ASA

SETIAP  YANG  BERGELAR  INSAN  PASTI  TIDAK  AKAN  TERLEPAS  DENGAN  PELBAGAI  MASALAH,  CABARAN  DAN  DUGAAN  KECIL  ATAUPUN  BESAR..


Semua itu adalah ketetapan Allah bagi menguji keutuhan iman di dalam hati..Usah persalahkan nasib jika diri dibebani pelbagai kesulitan kerana semua itu adalah takdir Allah. Sebagai insan yang taat kepada Allah kita perlu menerima segala ketentuan dengan hati yang redha, beriman kepada qada dan qadar....

Biarpun rasa sedih, kecewa dan terluka, usah sesekali timbul rasa putus asa atas segala ujian dari Allah. Jika kita merasakan diri malang kerana dihimpit masalah di kiri, kanan, depan dan belakang ingatlah bukan kita sahaja yang diuji malah ada insan lain yang lebih hebat dugaannya. Ada yang diuji dengan penindasan, kekayaan, kemiskinan bahkan ada juga yang diuji dengan kesalahan, dosa-dosa dan sebagainya..





Jadi bagaimanakah cara untuk kita menghadapi pelbagai ujian itu? Adakah kita boleh berputus asa dengan ujian itu? Adakah kita menyalahkan takdir? Lalu kepada siapa kita mengadu dan bergantung harap? Jawabnya hanya kepada Allah... Allah tidak akan mengubah nasib seseorang itu melainkan orang tersebut yang mengubah dirinya sendiri. Dan sesuatu itu boleh berubah dengan doa... Inilah cantiknya dan hebatnya orang Islam, kerana hidup kita jelas dan bermatlamat...


Pendek kata janganlah kita berputus asa dalam berhadapan dengan sebarang ujian.. Allah menyatakan dengan jelas dalam Al Quran bahawa sifat berputus asa bukanlah sifat orang muslim.. Seorang muslim adalah seorang yang tidak mengenal erti putus asa dan sentiasa bersungguh-sungguh dalam apa jua perkara..


Sikap berputus asa ini memang dilarang Allah dan sesiapa yang sedang mengalami perasaan ini mohonlah keampunan Allah.. Katakanlah (wahai Muhammad): "wahai hamba-hambaku yang telah melampaui batas terhadap diri sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia jualah yang maha pengampun ; lagi maha Mengasihani". Wahai muslimah, lihatlah persekitaran kita hari ini, ramai yang mudah berputus asa sehingga ada yang sanggup membunuh diri! 


Sungguh mudah seseorang itu menyerah kalah dalam kesulitan yang dihadapi misalnya dalam kerjaya, pelajaran, perniagaan, rumahtangga, kesihatan diri, keluarga dan sebagainya..


Ayuhlah bangun! Ikutlah teladan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat serta sri kandi zaman nabi yang  bersungguh-sungguh dalam menghadapi apa perkara sekalipun... Jika kita pernah gagal, ini tidak bermakna kita akan gagal selama-lamanya. Persoalan yang penting bukanlah bagaimana kita akan gagal tetapi persoalannya adalah bagaimana kita akan mengendalikan dan berhadapan dengan kegagalan tersebut...


Allah tidak pernah bersikap zalim terhadap hamba-hambaNya malah Dia Maha Adil dalam segala sesuatu. Dia telah memberi kita nikmat yang begitu banyak tetapi kelemahan manusia, kita selalu alpa dan tidak sedar dan kurang bersyukur atas apa yang diberi. Apabila diri ditimpa kesusahan kita mula mencari puncanya, mula menyalahkan orang itu dan ini, kecewa dan berputus asa atas apa yang berlaku. Ada yang mempertikaikan ketentuan Allan dan beranggapan Allah membenci dirinya... Sesugghnya Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Menyayangi..


Firman Allah yang bermaksud "Adanya manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dimuliakanNya dan diberikanNya kesenangan maka dia berkata : "Tuhanku telah memuliakanku. Adapun apabila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezekinya maka dia berkata: Tuhanku menghinakanku sekali-kali tidak(demikian)".


Sentiasa ingat bahawa setiap ujian yang menimpa adalah untuk menuntut kita untuk menjadi yang lebih baik. Sentiasalah memohon pertolongan Allah dalam segenap hal dan bertawakkal kepada Allah. Dari Abdullah Bin Mas'Ud RA, bahawa sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda: Barang siapa yang selalu ditimpa kesedihan atau kegundahan maka hendaklah dia membaca: "Ya Allah, sesungguhnya aku adalah hambaMu, dan anak abdiMu, dan anak-anakMu dan (berada ) di dalam gengamanMu ubun-ubunku di tanganMu dan berlaku keatas (diri)ku hukumMu dan adil padaku ketentuanMu, aku memohon kepadaMu dengan semua nama milikMu, (samada) yang Engkau namakan diriMu dengannya, atau yang engkau turunkan dia didalam kitabmu atau yang engkau simpan  tersembunyi di dalam ghaib disisiMu; kiranya Engkau jadikanlah Al Quran sebagai penghibur hatiku dan sebagai penawar kesedihanku dan kedukaanku". Tidak seorang hambapun yang membaca doa tersebut melainkan Allah hilangkan kedukaan dan digantikanNya(kesedihan itu) dengan kegembiraan.


Dan dalam firman Allah menjelaskan; " Dan apabila hamba-hambaKu bertanya engkau (Wahai Muhammad) tentangKu, (maka jawablah) sesungguhnya Aku ini hampir, Aku menjawab seruan sesiapa yang berdoa kepadaKu. Apabila dia berdoa, maka hendaklah dia menyahut seruan (menunaikan perintahKu) dan beriman kepadaKu mudah mudahan mereka selalu berada di atas petunjuk.


Bersabar dan bersikap proaktif serta tidak reaktif apabila menghadapi cabaran dan ujian. Sentiasa memikirkan peluang dan apa yang boleh dilakukan untuk memperbaiki keadaan tersebut dan bukannya dengan bereaksi dengan emosi dan hawa nafsu. Ingatlah setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.
.



No comments:

Post a Comment